"11 AMALAN YANG TERBALIK"

Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang
amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah
terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh
Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut
dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah
sebagai contoh amalan yang terbalik:-

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati
selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan
seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w di
mana Rasulullah s.a.w telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk
keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga
tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan
belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir
makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim
yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum
dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam
berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak
dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau
ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya
kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke
kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi
makan bukan untuk ia menambah pendapatan.


3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik kemas
dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah mahupun di masjid,
pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu
perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan
nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu,
sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang
supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat
malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah
seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang
berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan
setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa
adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di
bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri
sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri
pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari
bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat
kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa.
Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau
anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu
hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru
tuisyen sanggup dibayar sebulan RM200  tapi kepada Tok Guru Quran nak
bayar RM15 sebulan  pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan
kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran
atau bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang,
mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi
peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak
ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini,
rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak,
bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan
yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias
untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga
kurang bahagia.


Marilah kita berlapang dada menerima
hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita
menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut
selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan
peraturan hidup kita.

Mudah-mudahan ianya dapat memberi manfaat kepada kita semua insyaallah

0 comments: